Tuesday, October 25, 2011

Kelebihan Membaca Ayat al-Kursi Selepas Solat

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu, maka tidak ada yang dapat menghalangnya masuk Syurga melainkan dia mati.”

Takhrij hadis :

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasa’ie dalam al-Kubra, Ibn Hibban, al-Rawayaani, al-Daruquthni dalam al-Afrad, al-Dhiya’ dan al-Tabarani dalam al-Awsath oleh Sahabat Abu Umamah RA. Al-Haithami berkata : ‘Al-Tabarani meriwayatkan hadis ini dalam al-Kabir dan al-Awsath dengan perlbagai jalan, salah satu daripadanya adalah sanad yang baik.’

Penjelasan hadis :

Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca ayat al-Kursi selepas solat. Siapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat maka tidak ada apa yang dapat menghalangnya daripada masuk Syurga kecuali mati iaitu tidak ada syarat lain untuk dia masuk Syurga melainkan dia perlu menghadapi kematian. Perkara yang ada di antara seseorang itu dengan Syurga hanyalah maut,seolah-olah maut itu berkata ; ‘Kamu kena melepasi aku dahulu sebelum masuk Syurga.’ (Lihat : al-Taysir Bisyarh al-Jami’ al-Saghir, 2/844)