Tuesday, December 29, 2009

Bulan Islam: MUHARAM

Muharam adalah bulan pertama daripada bulan-bulan hijriah. Ianya merupakan bulan yang istimewa kerana ia termasuk daripada Bulan Haram yang empat iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Dinamakan dengan Muharam kerana bersangatan pengharaman peperangan padanya. Pada bulan ini tidak akan kedengaran desiran padang atau paluan gendang peperangan. Pengharaman tersebut disebutkan adalah kerana para jemaah haji sedang bersibuk-sibuk bersiap dan kembali ke tanahair mereka. Justeru, peperangan diharamkan agar para jemaah haji dapat pulang ke tanahair masing-masing dengan aman dan selamat.


KEISTIMEWAAN BULAN MUHARAM


Dalam menyebutkan keistimewaan bulan Muharam, Nabi SAW pernah menyatakan bahawa Muharam adalah “Bulan Allah”. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang terlebih utama (afdal) selepas Ramadhan ialah puasa di bulan Allah Muharam, dan solat yang terlebih utama selepas solat fardhu ialah solat di tengah malam.

Sesungguhnya disebutkan bahawa Nabi SAW sekali-kali tidak akan menghubungkan satu-satu perkara kepada AllahSWT melainkan perkara tersebut menunjukkan kemuliaan dan kelebihannya. Dikatakan juga dengan berhubungnya perkataan “Bulan Allah” itu menunjukkan bahawa pengharaman peperangan pada bulan ini adalah daripada Allah SWT dan tiada seseorang pun dikalangan makhluk dapat mengubah dan menukarnya.

Hasan al-Basri RA ada menyebutkan: “Allah SWT membuka setiap tahun itu dengan bulan haram (iaitu Muharam) dan menutupnya juga dengan bulan haram (iaitu Zulhijjah).” Hasan al-Basri RA dan lainnya juga mengatakan: “Muharam adalah semulia-mulia bulan dari bulan haram yang empat (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab).”

PUASA DI BULAN MUHARAM

Puasa sunat di bulan Muharam adalah sangat dituntut dan mempunyai kelebihannya tersendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan di atas tadi. Oleh itu bolehlah kita berpuasa sunat di bulan Muharam ini samada kita berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau berpuasa pada Hari Putih (Ayyam al-Bidh, 13,14 dan 15 hari bukan pada setiap bulan) di bulan ini dan berpuasa secara bersama pada hari kesembilan dan kesepuluh (Hari Asyura) Muharam.